2 Tahun Kita Dengan GST
Sudah dua tahun setengah kita hidup dengan GST. Tanggal 1 April adalah ulang tahun pelaksanaan cukai barangan dan
perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan di Malaysia. Tidak siapa meraikannya. Hidup
kita berjalan seperti biasa, dan bayar barangan atau perkhidmatan yang
dikenakan GST. Mahu tak mahu terpaksa juga beli.
Pada mulanya memang ‘bising’ sana sini orang ramai merungut dan
komplen tentang harga yang meningkat di sebalik kata-kata yang menjamin harga
barangan dan perkhimatan akan turun ketika GST.
Sekarang pun bukan tidak ada ‘bising’, tapi semua sudah malas untuk
memperkatakannya. Terimalah hakikat kita pun kena bantu kerajaan untuk
mengumpul dana. Banyak atau sedikit kita kena bayar GST, bergantung berapa
banyak kita keluarkan belanjanya.
Tak ada pula kita dengar selepas dua tahun GST dikenakan pada
barangan dan perkhidmatan yang ditetapkan kena cukai, rakyat hidup sengsara,
mati kebuluran. Kalau hidup merana tak cukup makan, ada pihak tampil hulur
bantuan. Yang penting beritahu masalah dan di mana mereka yang hidup sengsara
itu. Ada yang akan datang membantu.
Ada sesetengah orang politik menyebar cerita rakyat di semua
peringkat sangat tertekan dalam menghadapi kehidupan seharian yang ‘dijerut’
dengan cukai ini. Pelaksanaan GST telah menyebabkan harga barangan dan
perkhidmatan naik mendadak dari semasa ke semasa terutama barangan keperluan
harian.
Mahu buat macam mana, kena ikut kehendak pemerintah. Hakikatnya
mana ada kerajaan yang mahu menyeksa rakyatnya hidup menderita.
Bila teringat akan GST dan harga barang, nama bekas Timbalan
Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan akan disebut-sebut. Memanglah kalau ikut
teori harga barangan boleh turun dengan GST. Masalahnya, semua orang tahu
bahawa para pengedar dan peniaga awal-awal sudah menaikkan harga barangan
sebelum tarikh penguatkuasaan GST pada 1 April 2015.
Memang ada kelemahan, dan para peniaga bijak memanipulasi keadaan
ini. Itu cerita dua tahun lepas sebab pihak penguat kuasa tidak memantau
harga lama sebelum dan semasa GST dikuatkuasakan.
Menipu
Kalau kita sebagai pengguna rasa tertipu dengan kenyataan Ahmad
Mazlan itu, kenapa kita tidak marahkan para pemborong dan peniaga yang tidak
jujur terhadap harga barangan. Golongan kapitalis ini yang telah menipu kita
semua. Tapi yang kena maki hamun ialah para pemimpin kerajaan.
Apa pun dalam keadaan ketidaktentuan situasi ekonomi dunia sejak
dua tahun lalu, GST banyak membantu ekonomi kita. Walaupun banyak pihak peniaga
yang cuba mengelat, pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya juga
memungut hasil kutipan GST yang menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan
(SST) sebanyak RM27.012 bilion pada 2015 dan dianggarkan kerajaan memperoleh
RM38.5 bilion pada 2016. Kalau semua peniaga jujur, mungkin lebih banyak
kutipan boleh dikumpul.
Bayangkanlah dalam laporan akhbar pada Februari lalu mendedahkan
200,000 syarikat di seluruh negara dikesan menipu penyata GST – ini susulan
audit Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Golongan peniaga jenis ini bukan sahaja memperdaya kerajaan tetapi
juga kita semua sebagai pengguna. Mereka menggunakan alasan GST untuk menaikkan
harga barangan dan perkhidmatan tetapi tidak takut pula ‘mencuri’ duit cukai
yang pengguna bayar.
Sebenarnya, sikap lari dan menipu daripada bayar cukai dalam
kalangan peniaga ini yang menyebabkan GST diperkenalkan. Bila sudah
dikuatkuasakan GST pun, mereka mahu menipu kita semua lagi.
Golongan peniaga tamak yang mencuri wang GST itu patut didenda
sebagaimana hukuman yang ditetapkan. Jangan diberi muka. Biar rakyat lihat dan
menilai sendiri perbuatan para peniaga tamak itu.
Kita minta kepada ahli-ahli politik, jangan terpedaya dengan para
peniaga yang menaja aktiviti politik mereka dengan menyemai pelbagai tohmahan
dan kebencian terhadap kerajaan.
Oleh sebab perbuatan merekalah rakyat terpaksa membayar harga yang
lebih mahal untuk GST sedangkan caj cukai sepatutnya sudah dikira sekali dalam
harga barangan atau perkhidmatan.
Rakyat sudah diperdaya dua kali oleh peniaga tamak itu. Kali pertama
bila pengguna bayar harga barangan atau perkhidmatan termasuk harga cukainya.
Kali kedua bila wang GST yang dibayar tidak dimasukkan ke dana awam kerajaan.
Semua wang itu dimasuk ke dalam guni peniaga yang tamak itu.
Inilah hakikat yang berlaku dalam tempoh dua tahun GST
dikuatkuasakan. Penguatkuasaan peraturan dan undang-undang kenalah tegas.
Jangan berlembut yang akhirnya rakyat akan salahkan kerajaan.
Pastikan 2018, kami tidak ditipu untuk tahun ketiga GST.
No comments:
Post a Comment